KUCHING, 27 Dis: Telur import telah mula masuk dan berada di pasaran tempatan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Menurut beliau, ia adalah tindakan jangka pendek untuk mengatasi isu bekalan telur sehingga bekalan daripada pengeluar tempatan kembali pulih.
“Apa jua faktor yang menyebabkan bekalan telur terganggu sejak bulan September 2022 akan diselesaikan dengan rasa tanggungjawab.
“Ini walaupun kita tahu ekosistem pengeluaran telur akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan sehingga satu tahun untuk diatasi.
“Kawalan harga dan subsidi ayam standard dan telur Gred A, B, dan C diteruskan sehingga suatu tempoh yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Salahuddin, Kerajaan sedar bahawa penyelesaian bekalan harus dibuat dengan teliti.
Katanya, ia bagi mengelakan impak negatif kepada pengeluar dan peniaga-peniaga kecil dan mikro seperti yang berlaku sebelum ini.
Dalam kenyataan yang sama, Salahuddin berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi (MPIC) sedang memperincikan pelaksanaan Harga Peringkat bagi minyak sawit mentah.
“Ia adalah supaya harga minyak masak tulen kemasan botol di pasaran domestik dijual pada harga yang lebih rendah bagi mengurangkan tekanan terhadap permintaan dan penggunaan minyak masak bersubsidi polibeg 1kg,” ujarnya. — DayakDaily