Tekong tidak sampai, polis pula yang datang

Suspek kempunan bekerja di Malaysia, diusir balik ke negara asalnya.

LUNDU, 18 Julai: Tekong darat yang ditunggu, tapi polis yang datang menyebabkan seorang pendatang asing tanpa izin terpaksa berpatah balik pulang ke negara asalnya apabila diusir sepasukan anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12 semalam.

Menurut kenyataan PGA Briged Sarawak, lelaki yang berasal dari Indonesia tersebut datang ke negeri ini melalui jalan yang tidak diwartakan selepas mendapat tawaran bekerja di sebuah ladang sawit.

Bagaimanapun, selepas berjalan dua jam dari sempadan Sarawak-Kalimantan, dia ditangkap anggota PGA Batalion 12 yang menjalankan rondaan Op Benteng Covid di Kampung Raso, di sini pada jam 5 petang semalam.

“Dia mengaku datang ke Malaysia kerana ditawarkan bekerja di ladang sawit dan semasa ditangkap, dia mendakwa sedang menunggu tekong yang akan membawanya keluar bekerja di ladang sawit tersebut.

“Amaran lisan telah diberikan dan kemudian dia diusir balik ke negara asalnya,” katanya.

Jelasnya, tindakan tersebut diambil kerana suspek melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 Akta Pencegahan dan Pengawalan Pengakit Berjangkit (Akta 342).

“Tiada kekerasan digunakan ketika pemeriksaan dan pengusiran dilakukan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, PGA Batalion 12 juga telah mengusir tiga lelaki warga asing yang dikatakan hendak pulang ke negara asal mereka.

Ketiga-tiga lelaki terbabit ditangkap pada jam 3 petang hari ini dan hasil pemeriksaan mereka mendakwa ingin pulang ke negara asal mereka untuk menyambut Hari Raya Korban.

Ekoran itu, pasukan operasi terus bertindak mengusir mereka keluar dari negeri ini. — DayakDaily