Tekong selamatkan 10 pemancing dan bot dengan kawal kebocoran guna ’tilam’ dan ‘kain’

Bot yang nyaris karam berjaya diselamatkan.

KUCHING, 26 Jun: ‘Tilam’ dan ‘kain’ digunakan kawal kebocoran berjaya selamatkan sebuah bot pancing daripada karam di perairan Pulau Satang, di sini malam tadi.

Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata bot tersebut yang dikemudikan seorang tekong serta seorang kru membawa 10 orang pemancing dilaporkan mengalami kebocoran sekitar jam 7.20 malam.

Katanya, kebocoran berlaku di bahagian bawah kanan dan punca kebocoran masih tidak dapat dipastikan.


“Melihat kejadian tersebut, tekong bot bertindak pantas mengawal kebocoran dengan menggunakan kain dan span tilam untuk menampal bahagian bot yang bocor dan terus membuat panggilan kecemasan untuk memohon bantuan menggunakan radio VHF.

“Bot pertama yang tiba menyalurkan bantuan ialah bot tempatan dari Semariang dan kesemua 12 mangsa dilaporkan selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, bot tersebut kemudian diringi dua aset Pasukan Polis Marin (PPM) dari lokasi kejadian dan tiba di jeti Sarawak Boat Club pada jam 1.40 pagi.

Pemeriksaan ke atas bot tersebut juga mendapati ia dilengkapi 14 jaket keselamatan dan empat pelampung kaselamatan.

Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) tersebut ditamatkan pada jam 1.40 pagi selepas kesemua disahkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ribuan terima kasih kepada PPM, Persatuan Komuniti Pemancing Sarawak serta orang awam yang terlibat secara langsung dalam operasi ini,” katanya.

Difahamkan bot tersebut bergerak dari jeti Sarawak Boat Club sekitar jam 1 petang menuju ke perairan lundu.

“Komuniti maritim dinasihatkan sentiasa pastikan bot dalam keadaan baik dan sentiasa memakai jaket keselamatan serta bawa bersama peranti personel located beacon (PLB) untuk memudahkan pasukan penyelamat terus ke lokasi kecemasan,” katanya. — DayakDaily