TDM dan TNI bergabung dalam Eksesais Bilateral Kekar Malindo

Gambar komposit sekitar majlis pembukaan eksesais tersebut hari ini.

SRI AMAN, 23 Nov: Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD) mengadakan latihan Gabungan Bersama bermula 22 Nov sehingga 2 Dis ini.

Divisyen Pertama Infantri dalam kenyataan berkata, Eksesais Keris Kartika Malaysia & Indonesia (KEKAR MALINDO) Siri 44AB/2021 merupakan latihan Gabungan Bersama di antara Briged Ketiga Infantri Malaysia bersama Brigade Infanteri 19/Khatulistiwa.

Katanya, eksesais tersebut diadakan di sekitar kawasan Sri Aman, Engkelili, Lubok Antu dan Semanju.


“Eksesais ini merupakan latihan bilateral yang diadakan setiap tahun melibatkan dua fasa iaitu Eksesais Pos Pemerintah dan Eksesais Trup Medan yang melibatkan 17 pegawai dan 344 anggota pasukan Batalion ke 13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) mewakili TDM.

“Manakala TNI-AD diwakili pasukan YONIF Raider 641 Beruang yang terdiri daripada 10 pegawai bersama 122 anggota lain-lain pangkat,” katanya.

Jelasnya, objektif eksesais ini bertujuan menguji pemerintah dan pegawai staf di peringkat batalion infantri dan pasukan gabungan dalam operasi gabungan, meningkatkan keupayaan kedua-dua pihak bagi melaksanakan operasi dalam konteks peperangan konvensional.

“Ia juga untuk mengeratkan semangat setiakawan serta perhubungan erat antara kedua-dua negara agar berterusan selain dapat meningkatkan kesiagaan ketenteraan bagi menghadapi sebarang ancaman musuh yang mendatang,” katanya.

Majlis pembukaan yang diadakan di Kem Pakit, Sri Aman disempurnakan oleh Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Kamil Abdul Latiff dan turut dihadiri Brigadir Jenderal TNI Djauhari, S. E. — DayakDaily