Tayangan video ‘Tuanku Payung Mahkota’ pengisian istimewa Majlis Jamuan Teh Hari Keputeraan Agong Peringkat Sarawak 2024

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi memotong pulut kuning di majlis tersebut.
Advertisement

KUCHING, 7 Sep: Tayangan video ‘Tuanku Payung Mahkota’ antara pengisian istimewa pada Majlis Jamuan Teh sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak 2024.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), ia ditayangkan menerusi skrin utama di dalam DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini hari ini.
Video khas terbitan Jabatan Penyiaran (RTM) Sarawak itu memaparkan peristiwa penting dalam kehidupan Sultan Ibrahim, antaranya detik baginda diputerakan pada 22 November 1958, termasuk perkahwinan Seri Paduka dengan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada 22 September 1982.

Turut dipaparkan dalam video berdurasi 6 minit itu ialah pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010, Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu, serta Istiadat Pertabalan Sri Paduka di Istana Negara pada 20 Julai 2024.

Advertisement

Majlis yang menghimpunkan lebih 500 tetamu itu disempunakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Hadir sama ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Datuk Abang Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Pengisian majlis diteruskan lagi dengan upacara memotong pulut kuning oleh Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi serta isteri, disusuli tayangan video lagu khas dendangan Bob Yusuf dan Camelia.

Kota Samarahan menjadi tuan rumah bagi Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak berlangsung selama empat hari, mulai 5 hingga 8 September 2024.

Terdapat empat acara utama termasuk Pameran Raja Kita di Summer Mall Kota Samarahan, Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain di Dewan Suarah Kota Samarahan dan Majlis Kesyukuran di Masjid Al-Muttaqin Kota Samarahan. ā€” DayakDaily

Advertisement