Takbir Aidiladha di masjid dan surau dibenarkan, ibadah korban ditangguh dan tiada aktiviti ziarah — MIS

Quran. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 18 Julai: Takbir dan solat sunat dibenarkan di masjid serta surau pada sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan dirai pada 20 Julai ini.

Majlis Islam Sarawak (MIS) menerusi garis panduan yang dikeluarkan hari ini menetapkan had jemaah tidak melebihi 500 orang bagi Masjid Jamek Negeri Sarawak.

Bagi kategori masjid bahagian, daerah, daerah kecil dan kariah, had jemaah dibenarkan adalah tidak melebihi 150 orang.


Manakala bagi surau, had jemaah adalah tidak melebihi 70 orang.

“Had jemaah adalah termasuk pegawai masjid dan jawatankuasa pengurusan. Jemaah hendaklah menggunakan pelitup hidung dan mulut sepanjang masa.

“Menjalani pengimbasan suhu badan, mendaftar kehadiran melalui Mysejahtera atau buku rekod sebelum masuk ke dalam masjid atau surau.

“Membawa sejadah sendiri, berwudhuk di rumah, tidak bersesak-sesak untuk masuk dan keluar masjid atau surau serta tidak bersalaman,” kata MIS.

Garis panduan itu turut menetapkan bahawa aktiviti ibadah korban ditangguhkan, manakala ziarah hari raya tidak dibenarkan pada sambutan tahun ini.

Turut tidak dibenarkan ialah jamuan selepas solat sunat di masjid atau surau, aktiviti takbir dari rumah ke rumah, rumah terbuka, tahlil selepas solat sunat di masjid atau surau dan ziarah kubur.

Bagi Zon atau Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), solat sunat dan takbir di masjid atau surau adalah tidak dibenarkan. — DayakDaily