Syed Hamzah nafi terlibat beri kelulusan geran SME Corp kepada Azzahra Product

Syed Hamzah menunjukkan laporan polis yang dibuat beliau berhubung artikel menuduh pengelibatan dalam pemberian kelulusan geran SME corp kepada Azzahra Product Sdn Bhd.

KUCHING, 6 Mei: Setiausaha politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie menafikan beliau terlibat dalam kelulusan geran SME Corp yang bernilai RM338,950 kepada syarikat milik isterinya, Azzahra Product Sdn berhad.

Menurut beliau, ini kerana geran tersebut telah diluluskan oleh SME Corp pada 2017 iaitu sebelum beliau berkhidmat sebagai setiausaha politik Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Geran tersebut telah diluluskan pada 10 Oktober 2017, manakala Dato Sri Wan Junaidi dan saya mula berkhidmat dengan Medac pada 20 April 2020. Bagaimana mungkin saya dan Dato Sri Wan Junaidi boleh terlibat dengan kelulusan geran empat tahun lepas sedangkan kami mula berkhidmat dengan Medac pada tahun lalu (2020),” katanya menerusi satu kenyataan.


Jelas Syed Hamzah, beliau yang sebelum ini merupakan pengarah syarikat berkenaan telah meletakkan jawatann dan melupuskan semua saham miliknya di syarikat tersebut pada 23 November 2015.

Ini sekaligus membuktikan beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan di dalam syarikat terbabit yang juga milik isterinya.

Katanya, fakta terbabit bertentangan dengan satu artikel yang diterbitkan Sarawak Report dan dua lagi akaun Facebook iaitu Jap Zainal dan Pemansang Sarawak Baru (PSB) yang menuduh beliau dan Wan Junaidi terlibat dalam pemberian kelulusan geran tersebut.

Tambahnya, satu laporan polis telah dibuat oleh beliau berhubung perkara terbabit terhadap dua pemilik akaun Facebook berkenaan pagi tadi bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil oleh pihak berkuasa.

“Hari ini juga saya telah melantik peguam saya di Kuching untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas dua pemilik akaun Facebook kerana menyebarkan fitnah untuk mengaibkan saya.

“Saya juga telah mengarahkan peguam saya di Kuala Lumpur untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Clare Rewcastle di London selaku ‘editor’ Sarawak Report di atas fitnah yang dibuat ke atas saya dan Dato Sri Wan Junaidi,” katanya.

Tegas Syed Hamzah, beliau akan terus menjejaki dan mengambil tindakan undang-undang ke atas setiap individu yang terlibat dengan penyebaran fitnah dan berita palsu tersebut.

Ia bagi membolehkan individu terbabit tidak akan menganiaya orang lain seperi mana yang dilakukan terhadap beliau. — DayakDaily