Suspek utama kes bunuh di ladang kelapa sawit di Sebauh dicari

Suspek utama kes bunuh pekerja ladang sawit di Sebauh.

Oleh Brad Rantayy

BINTULU, 7 Julai: Polis giat mengesan seorang lelaki warga Indonesia yang masih bebas bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui dengan kesan luka di dalam sebuah bilik kediaman pekerja ladang kelapa sawit di Sebauh pada malam Selasa (6 Julai).

Ketu Polis Daerah Bintulu, Supt Zulkifli Suhaili, berkata individu berkenaan merupakan suspek utama kes tersebut dan dikenali sebagai ‘Kalippu’ berusia awal 30-an.

Katanya, seramai lapan suspek warga Indonesia, termasuk tiga wanita berusia antara 25 sehingga 43 tahun telah ditahan pihak Polis dalam beberapa siri tangkapan pada awal pagi Rabu sehingga 1 pagi bagi membantu siasatan berhubung kejadian.

Pada malam Selasa (6 Julai) sekitar jam 10 malam, pihak polis telah menerima panggilan dari seorang pengurus sebuah ladang kelapa sawit di Sebauh tentang penemuan seorang lelaki pekerja ladang tersebut yang ditemui dalam keadan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

“Mangsa ditemui di dalam sebuah blok rumah pekerja ladang berkenaan, dan kita telah menghantar sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Bintulu ke lokasi,” ujarnya.

Hasil pemeriksaan di lokasi, mendapati mangsa yang mengalami kesan luka di bahagian kiri pinggang telah meninggal dunia.

“Menurut saksi mata, sekitar jam 8 malam mereka ada terlihat si mati berbual dengan suspek utama yang dikenali sebagai ‘Kallipu’ sebelum bertindak memecahkan cermin dan reban ayam milik penghuni lain,” jelas Zulkifli.

Katanya, suspek dilihat mengejar si mati sebelum kedua-dua mereka dilihat masuk semula ke dalam bilik , dan tidak lama kemudian suspek dilihat keluar bersendirian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagi kes itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat keberadaan suspek utama dikenali ‘Kalippu’ boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat di talian 0196369984, atau Ketua Bahagian JSJ Bintulu ASP Mohd Razif Mohd Yusuf (012 5860586) dan Balai polis Bintulu (086-318304). — DayakDaily