Suspek rompakan di dobi layan diri ditahan polis Miri

Suspek ditahan JSJ Miri untuk siasatan lanjut.
Advertisement

MIRI, 14 Mac: Tidak sampai enam jam selepas dipercayai melakukan rompakan di sebuah dobi layan diri di Jalan Pointsetia, Lutong Baru di sini, seorang lelaki warga tempatan ditahan polis malam tadi (13 Mac).

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, tangkapan dibuat sekitar jam 9.05 malam Sabtu di sebuah rumah di lorong 1, Dato Permaisuri 1A RPR Permyjaya.

Turut ditemui bersama suspek berusia 41 tahun itu sebilah sabit berukuran 38cm dan sebiji helmet yang disyaki telah digunakan dalam rompakan tersebut.

Advertisement

Tangkapan dilakukan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ).

Usaha menjejak suspek berhasil apabila pihak JSJ Miri berjaya mengesan kenderaan yang digunakannya semasa rompakan tersebut.

“Kesan calar pada bahagian depan kereta Proton Saga Iswara lama berwarna hitam putih membawa penemuan lokasi keberadaan suspek,” ujarnya.

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang Sabtu itu, suspek dilihat keluar dari kereta tersebut dan memasuki premis dobi layan diri sambil memegang sebilah sabit dan memakai sebiji helmet.

Turut ditemui dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri ialah sebuah kereta Proton Iswara lama dan sehelai sarung tangan berwarna hitam.

Kejadian berjaya dirakam CCTV premis terbabit dan hasil siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai sebanyak 16 rekod jenayah lampau.

Usaha mengesan seorang rakan sejenayah suspek yang juga pemandu kenderaan tersebut sedang giat dijalankan.

Seorang pekerja wanita premis berkenaan yang ketakutan telah melarikan diri.

Dek kerana ketakutan, pekerja wanita berkenaan tidak sempat mengambil beg tangannya sebelum melarikan diri.

Suspek dipercayai sempat mengambil beg tangan wanita tersebut sebelum melarikan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. — DayakDaily

Advertisement