Suspek rogol remaja perempuan dicekup selepas dua hari diburu

Royal Malaysia Police logo
Advertisement

KUCHING, Jun 4: Selepas dua hari diburu, seorang suspek yang disyaki merogol remaja perempuan berusia 13 tahun berjaya dicekup di Petra Jaya di sini hari ini.

Suspek lelaki berusia 19 tahun itu diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada pukul 10.15 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dennis Leong Soon Kuai berkata, suspek ditangkap susulan laporan yang dibuat oleh mangsa pada Jun 2 lalu, kira-kira pukul 9 malam.

Advertisement

Katanya, mangsa mendakwa telah dirogol oleh suspek di kawasan taman rekreasi di belakang Wisma Bapa Malaysia di sini pada petang Jun 2 lepas.

“Sehubungan siasatan kes tersebut beberapa rampasan barang-barang kes telah dibuat dari mangsa dan saspek untuk melengkapkan kertas siasatan berkenaan.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya dalam satu kenyataan media sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Dennis memberitahu, jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak kurang dari 10 tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan juga boleh dikenakan sebat tidak kurang dari 10 sebatan rotan.

Berdasarkan laporan yang diterima dari mangsa, perogolnya adalah seorang lelaki berusia 19 tahun yang dikenalinya.

Mangsa mendakwa mengenali suspek tidak lama sebelum ini sebelum dia menaiki sebuah motosikal dengan suspek.

Dakwa mangsa lagi, suspek kemudian memberhentikan motosikalnya di kawasan taman rekreasi di belakang Wisma Bapa Malaysia di sini sebelum lelaki berkenaan merogolnya.

Mangsa turut mendakwa selepas suspek melakukan perbuatan terkutuk itu, dia telah ditinggalkan oleh suspek. — DayakDaily

Advertisement