Suspek pecah rumah di Rampangi ditangkap polis

Suspek ditahan di kawasan letak kereta sebuah pasar raya di Kuching.

KUCHING, 17 Jun: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat kejadian pecah rumah dan curi di kawasan Rampangi, di sini pada 12 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, suspek warga tempatan itu ditangkap kurang 24 jam laporan kes pecah rumah dan curi itu dilaporkan berlaku pada 11 Jun.

Katanya suspek ditangkap kira-kira jam 9.40 malam di tempat letak kereta sebuah pasar raya di sini.

Jelasnya, tangkapan suspek juga membawa kepada rampasan satu unit topi keledar dan satu unit telefon bimbit milik mangsa.

Selain itu, semakan rekod mendapati suspek memiliki lapan rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Jelasnya, suspek telah dihadapkan ke mahkamah pada 16 Jun untuk kes dibawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki barang curi.

Dia kemudian diberi ikat jamin oleh Mahkamah sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin tempatan dan tertuduh telah membayar ikat jamin tersebut.

Kes tersebut akan disebut semula pada 21 Jun ini. — DayakDaily