KUCHING, 14 Julai: Seramai 10 individu termasuk dua wanita disyaki pengendali pusat pengoperasian judi dalam talian ditangkap dalam dua serbuan berasingan semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata serbuan Ops Dadu Khas tersebut dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Ming Chung, di sini sekitar jam 3 petang.
Jelasnya, serbuan pertama telah berjaya menahan tujuh suspek iaitu lima lelaki dan dua wanita berusia 25 hingga 37 tahun.
“Dalam serbuan tersebut, tiga suspek melarikan diri dengan terjun dari tingkat dua premis. Namun dua daripadanya berjaya ditangkap semula dan seorang masih diburu.
“Dua yang berjaya ditangkap semula mengalami patah pinggang serta seorang lagi patah kaki dan yang patah kaki telah dihantar ke lokap polis selepas dirawat,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.
Menurutnya juga, sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi sejak sembilan bulan lepas dengan menyewa satu unit kondominium tersebut RM1,800 sebulan.
“Dipercayai sindiket ini membuat keuntungan lebih kurang RM4.05 juta dalam tempoh sembilan bulan,” katanya.
Manakala, serbuan kedua pula berjaya menangkap tiga lelaki iaitu dua warga tempatan dan seorang warganegara Indonesia berusia lingkungan 17 hingga 23 tahun.
“Siasatan juga mendapati premis tersebut disewa RM1,800 sebulan dan pusat tersebut beroperasi sejak tiga bulan yang lepas dengan memperolehi keuntungan mencecah RM270,000 dalam tempoh tersebut,” kata Ahsmon.
Polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk enam unit komputer, 21 telefon bimbit dan modem.
Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Selain itu, kesemua suspek warganegera asing juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Operasi ini akan diteruskan bagi membanteras perjudian haram yang merugikan ekonomi dalam aspek lesen dan cukai,” katanya. — DayakDaily