Suspek langgar dan ragut dipenjara

Gambar tangkap layar dari video kemera papan pemuka sebuah kereta mangsa yang diragut suspek.

KUCHING, 16 Sept: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching mengesahkan telah menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes ragut melibatkan seorang suspek baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek, 34 tahun terbabit ditangkap pada 29 Ogos lalu dan telah dituduh di Mahkamah pada 8 September.

Katanya, modus operandi (MO) suspek yang segaja melanggar kenderaan mangsa sebelum meragut mereka terbongkar selepas videonya tular di media sosial.


“Siasatan setakat ini mendapati terdapat enam kes yang berkaitan termasuk kes video viral pada 23 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 392 iaitu samun tanpa senjata api dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu curi.

“Kes selesai dengan tangkapan ke atas suspek yang dituduh di mahkamah pada 8 September dan dijatuhkan hukuman 10 bulan penjara dan dendan RM5,000,” katanya. — DayakDaily