Tiga maut, seorang parah dalam kemalangan di Julau

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

BINTANGOR, 16 Sept: Tiga lelaki disahkan meninggal dunia, manakala seorang wanita cedera parah dalam kemalangan di Jalan Julau, Batu 12, di sini semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Malaysia berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 10.24 malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan membabitkan empat orang mangsa dan melibatkan dua buah motosikal.

“Seorang mangsa wanita cedera parah dan telah dihantar ke Hospital Sibu oleh ambulans dark Hospital Kanowit, manakala tiga lagi mangsa lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Mayat ketiga-tiga telah diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu.

Dua daripada mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mathew Many Jonathan dan Nelson Chendang.

Seorang lagi mangsa masih belum dikenalpasti identitinya.

Seterusnya pihak Bomba membuat pembersihan serpihan kemalangan bagi mengelak sebarang kemerbahayaan kepada kenderaan lain.

Anggota Bomba kemudian berangkat balik ke balai.