Suspek ‘langgar dan ragut’ diburu polis

Tangkap layar daripada video yang tular di media sosial. Suspek dan motosikal yang digunakan semasa kejadian.
Advertisement

KUCHING, 24 Ogos: Seorang lelaki disyaki suspek langgar dan ragut kini diburu polis selepas video kejadian tular di media sosial.

Justeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhuhung suspek yang menunggang sebuah motosikal untuk segera melaporkan di mana-mana balai polis berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kejadian telah dilaporkan oleh mangsa dan setakat ini tiga kertas siasatan dibuka.

Advertisement

“Polis mengesan satu rakaman video berdurasi 27 saat di media sosial yang memaparkan berkaitan kejadian mangsa telah diragut oleh seorang suspek yang menunggang motosikal dengan cara melanggar belakang kereta mangsa kemudian melakukan samun.

“Pihak polis mengesahkan menerima laporan polis berkaitan kejadian yang berlaku dan sebanyak tiga kertas siasatan dibuka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan lanjut polis dijalankan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan iaitu samun tanpa senjata api.

“Gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan oleh pihak polis.

“Pihak polis mengalu-alukan kepada orang awam untuk menyalurkan maklumat,” katanya. — DayakDaily

Advertisement