Suspek gaduh depan perkarangan pasar raya di Riam ditahan polis

Video berdurasi 25 saat memaparkan kejadian pergaduhan itu dirakam orang awam menjadi tular di media sosial.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 17 SEPT : Polis Miri awal pagi tadi menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan di luar sebuah pasar raya di Riam pada Khamis (16 September) di sini seperti yang tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari berkata, polis sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.


“Suspek berusia 27 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan dalam kes terbabit, sementara seorang lagi lelaki telah dihantar ke Hospital Miri untuk menerima rawatan,” katanya.

Pihak polis turut merampas sekeping kayu dengan ukuran panjang 40 cm daripada suspek untuk membantu siasatan.

Mangsa berusia 24 tahun itu dilaporkan menerima rawatan pesakit luar.

Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 9 malam di hadapan pintu masuk pasar raya terbabit, sebaik sahaja mangsa dan rakannya tiba di perkarangan bangunan tersebut.

Terdahulu, satu video berdurasi 25 saat tular di media sosial menunjukkan suspek menyerang mangsa yang hendak masuk ke pasar raya terbabit menggunakan sekeping kayu.

Turut kelihatan dalam video tular terbabit adalah seorang wanita yang juga dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian mulut.

Kis disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. — Dayakdaily