Gaduh gara-gara seorang wanita, 6 lelaki ditahan polis

Polis menahan enam pemuda kerana disyaki terlibat dalam satu pergaduhan petang Khamis (22 Julai, 2021).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 23 Julai: Polis menahan enam pemuda disyaki terbabit dalam satu pergaduhan kerana berebut seorang wanita di Jalan Kwang Tung berhadapan dengan Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Miri, petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata kesemua suspek lelaki tempatan berusia antara 15 sehingga 24 tahun ditangkap di hadapan sebuah kedai di Jalan Kwang Tung.

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 5 petang.

Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada berebut seorang wanita dan perasaan tidak puas hati antara satu sama lain.

Dalam kejadian, beberapa suspek bersenjatakan sebatang besi dan helmet motorsikal.

Berikutan itu, tegas Hawari, pihak polis telah melancarkan operasi menangkap kesemua suspek.

“Seramai enam suspek telah ditangkap dalam operasi dinamakan Ops Pintu,” ujarnya.

Kes masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan.

Dalam pada itu, Hakemal turut menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan jenayah kekerasan dan bertindak sesuka hati.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat,” katanya. — DayakDaily