Suspek disyaki curi tiga tin tepung susu untuk jual semula beli dadah

Suspek (tiga dari kiri) ditahan pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 13 Sept: Susulan penahanan seorang lelaki berusia 24 tahun kerana disyaki melarikan tiga tin susu formula pada Sabtu (11 Sept) bernilai RM294 dari sebuah premis di Times Square Marina Parkcity, hasil siasatan polis mendapati suspek ingin menjual semula barangan tersebut bagi membeli bekalan dadah.

Perkara ini dijelaskan Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari pagi tadi ketika dihubungi.


Pada Sabtu, sekitar jam 2 petang, suspek yang ketika itu berbaju merah dilihat melalui rakaman CCTV, memasuki premis tersebut dan berjalan ke arah rak bahagian tempat menyimpan susu formula sebelum melarikan diri selepas masuk ke sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna putih.

Suspek kemudian ditahan di sebuah rumah di Jalan Maigold Taman Desa Senadin pada jam 8 malam hari yang sama oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri.

Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah.

Kata Hakemal, pihak polis turut menahan seorang pemilik kedai di Taman Beautiful Jade Manis untuk membantu siasatan.

DIfahamkan, pemilik kedai terbabit, seorang wanita, telah kerap kali membeli barangan hasil curi daripada suspek.

Kedua-dua suspek kini sedang dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. — DayakDayak