Suspek curi motosikal dicekup kurang dari 24 jam di Bau

Motosikal yang dilaporkan hilang di Kampung Peninjau Baru, Siniawan.

BAU, 14 Nov: Padah menimpa seorang lelaki apabila ditangkap kurang daripada 24 jam selepas didakwa mencuri sebuah motosikal di Kampung Peninjau Baru, Siniawan hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata suspek berusia 25 tahun itu dilaporkan mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda, dari halaman sebuah rumah sekitar jam 4 petang semalam.

Bagaimanapun, sekitar jam 4 pagi hari ini, suspek yang juga berasal dari kampung yang sama dilihat balik bersama dengan motosikal yang dicurinya itu.


“Suspek kemudian ditangkap serta motosikal dirampas dan kemudian terus dihantar ke Balai Polis Siniawan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun serta denda jika disabitkan kesalahan.

“Suspek tersebut juga mempunyai rekod jenayah lampau,” kata Poge. — DayakDaily