Penunggang motosikal rempuh lori disahkan meninggal dunia semasa dirawat di ICU Betong

Keadaan di lokasi kemalangan.

Oleh Juetila Ozzy

BETONG, 14 Nov: Seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di perut dan kepala selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa, Ricky Chaong,47, semasa kejadian dikatakan menunggang motosikal di Jalan Serembang-Manggut iaitu sekitar jam 2.40 petang.


Menurutnya, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar sebuah lori yang sedang dipakirkan di kawasan pengumulan stok.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah kemudian dikejarkan ke Hospital Betong dan disahkan meninggal dunia semasa sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Betong untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Pegawai penyiasat juga telah merakam keterangan saksi-saksi awam semasa kejadian bagi membantu siasatan,” katanya. — DayakDaily