Covid-19: 1,114 kes positif baharu, 2 kematian dan 803 pulih

graf kes positif covid-19 (14 Nov 2020) KKM

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 Nov: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat 1,114 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini di seluruh negara.

Menurut beliau, ia melibatkan, 1,112 kes tempatan dan 2 kes import.


“Kes positif terkini menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 46,209 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 12,131 kes,’ katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham terdapat pertambahan 2 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 306 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat 2 kes kematian dilaporkan pada hari ini melibatkan 2 kes warganegara.

“Kedua-dua kes dilaporkan dari Hospital Queen Elizebeth Sabah. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 803 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 33,772 kes atau 73.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 103 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) dan 43 kes memerlukan bantuan
pernafasan,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat 4 kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Istimewa di Sandakan, Kluster Alila di Kota Kinabalu, Kluster Assumption di Pulau Pinang dan Kluster Rajawali di Pulau Pinang. – DayakDaily