Suspek curi kabel kuari ditangkap di lokasi

Polis menahan suspek (barisan hadapan, tengah) di sebuah rumah panjang di Sekaloh Niah petang Rabu untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 2 Sept: Seorang pemuda dari sebuah rumah panjang di Niah dipercayai terlibat dalam kes curi kabel sebuah kuari berhampiran pada Selasa, susulan sebuah ‘tool bag’ miliknya ditemui di lokasi kejadian.

Pemuda berusia 32 tahun itu telah ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitar jam 6.30 petang Rabu (1 Sept) di sebuah bilik rumah panjang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, penahan suspek tersebut telah membawa kepada penemuan tiga unit ‘Button Bit’ yang kebiasaannya digunakan dalam kerja-kerja pengerudian batu di kuari.

Pada pagi Selasa, pihak polis telah menerima satu laporan dari penyelia kuari tersebut yang mendakwa wayar kabel elektrik sepanjang 20 kaki dan kabel starter bateri (empat meter panjang) telah hilang dipercayai telah dicuri.

Sebuah ‘tool bag’ dipercayai milik suspek ditemui di lokasi kejadian.

Identiti pemilik telah dikenal pasti oleh pekerja kuari yang lain, kerana suspek sering dilihat membawa bag tersebut sewaktu masih bekerja di kuari tersebut.

Siasatan lanjut, mendapati suspek pernah bekerja di kuari tersebut, namun telah berhenti lapan bulan yang lalu.

Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian, mendapati suspek juga ada mencuba memotong beberapa kabel yang lain, namun tidak berhasil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. — DayakDaily