Oleh Dean Adam
KAPIT, April 19: Lagi kes penipuan melibatkan pinjaman tidak wujud yang dilaporkan berlaku di negeri ini.
Kes terbaharu membabitkan seorang suri rumah berusia 29 tahun yang kerugian sebanyak RM1,080.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah,
berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah melayari laman Facebook (FB) sebelum terlihat tawaran pinjaman wang pada November 2018.
Jelasnya, mangsa kemudian meninggalkan pesanan dan nombor telefonnya di dalam ruangan komen FB tersebut.
“Pada 12 April lepas, mangsa dikatakan telah menerima pesanan dari aplikasi WhatsApp yang memperkenalkan diri sebagai Mr Lim yang mengaku sebagai ejen syarikat pemberi pinjaman wang.
“Mangsa kemudian memberitahu dia berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM10,000,” katanya di sini hari ini.
Mustafa Kamal menambah, suspek seterusnya memberitahu mangsa bahawa pinjaman itu boleh diluluskan dalam masa tiga hari dengan syarat mangsa membuat bayaran pendaftaran sebanyak RM150 terlebih dahulu.
Katanya, mangsa kemudian membuat pembayaran sebanyak lima kali berjumlah RM1,080 ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.
“Transaksi itu dibuat pada 16 hingga 18 April lepas. Mangsa berasa telah ditipu setelah tidak menerima wang pinjaman sebaliknya suspek masih meminta dka membuat bayaran tambahan,” katanya. — DayakDaily