Harga mingguan petrol: RON97 naik 12 sen, RON95 dan diesel kekal

A vehicle getting refueled at a petrol station. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 19 April: Harga runcit petrol RON97 naik sebanyak 12 sen seliter, manakala RON95 dan diesel kekal bagi tempoh 20-26 April.

Menurut kenyataan media Kementerian Kewangan hari ini, harga runcit petrol RON97 akan naik daripada RM2.68 seliter kepada RM2.80 seliter.

“Kenaikan ini adalah berikutan harga produk petroleum yang diproses (refined product) di pasaran dunia yang telah menunjukkan trend peningkatan sehingga melebihi paras AS$80 setong,” kata kementerian tersebut.

Harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.08 seliter dan harga runcit diesel kekal pada paras RM2.18 seliter.

Harga minyak untuk 20-26 April 2019 dalam kenyataan media Kementerian Kewangan.

Kementerian juga mendedahkan bahawa berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 bagi tempoh 20-26 April, 2019, sepatutnya naik 12 sen daripada RM2.38 seliter kepada RM2.50 seliter.

Manakala harga runcit diesel pula sepatutnya naik 7 sen seliter daripada RM2.39 seliter kepada RM2.46 seliter berikutan kenaikan harga purata minyak Dated Brent kepada AS$70.98 setong bagi tempoh 11-17 April, 2019.

Namun, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh di atas adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat. — DayakDaily