KUCHING, 5 Mac: Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) memeterai perjanjian persefahaman dengan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dalam melaksanakan program pemuliharaan pemuliharaan Sungai Plan di Tanjung Kidurong, Bintulu.
MLNG yang merupakan anak syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) memeterai MoU tersebut bagi tempoh empat tahun mulai 2024 hingga 2027.
Pertukaran dokumen perjanjian persefahaman itu telah disaksikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Malaysia LNG diwakili Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mohamed Syazwan Abdullah @ Laga Jenggi.
Manakala NREB diwakili Controller Jack Liam dan BDA diwakili Pengurus Besar Datu Muhamad Yakup Kari.
“Program Pemuliharaan Sungai Plan ini merupakan usaha kami dalam menyokong agenda Rancangan Malaysia Ke-12 dan Dasar Perubahan Iklim negeri Sarawak yang menitikberatkan pertumbuhan hijau dan pengurusan sumber asli secara efisien, selaras dengan komitmen kami ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih 2050 (NZCE2050).
“Kami berharap dapat menyumbang kepada usaha memelihara dan memulihara ekosistem di kawasan sekitar tempat operasi kami serta menyemai sikap penjagaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat tempatan,” kata Mohamed Syazwan.
Program Pemuliharaan Sungai Plan merangkumi tiga komponen utama iaitu mewujudkan garis asas kualiti air, pemantauan secara berkala dan penghijauan tebing sungai yang melibatkan aktiviti penanaman 500 anak pokok di sepanjang kawasan Sungai Plan. — DayakDaily