Sukma Johor akan diadakan pada 6-14 Mac 2021

Logo Sukma Johor.

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, 24 April: Teka-teki tarikh baru penganjuran temasya Sukma Johor akhirnya terjawab selepas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia memutuskan tarikh baru pada 6 hingga 14 Mac, 2021.

Keputusan itu dicapai selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, semalam.


Mesyuarat diadakan secara atas talian itu juga memutuskan tarikh baru penganjuran Para Sukma Johor, iaitu dari 5 hingga 10 April, 2021.

Reezal, menerusi kenyataan medianya, turut memutuskan mana-mana atlet yang telah didaftarkan dalam senarai pendaftaran awal (long list) sebelum 9 Januari, 2020, dibenarkan mengambil bahagian pada Sukma Johor walaupun melebihi had umur seperti yang ditetapkan.

“Pertukaran atlet untuk senarai panjang boleh dilakukan sehingga 30 Jun, 2020, yang hanya melibatkan kes kecederaan (mesti mendapatkan pengesahan doktor) atau tidak mendapat pelepasan majikan atau institusi pendidikan (mesti menyertakan surat pengesahan pelepasan).

“Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Khas Teknikal untuk kelulusan.

“Borang-borang penyertaan yang lengkap dengan nama atlet dan acara (senarai pendek) hendaklah dikemukakan oleh kontinjen kepada Sekretariat SUKMA Johor 2020 tidak lewat daripada 31 Disember, 2020,” kata Reezal.

Katanya lagi, Mesyuarat Pertindihan Atlet akan diadakan pada 18 Januari, 2021, manakala Mesyuarat Pendaftaran Delegasi (DRM) akan diadakan pada 24 dan 25 Februari, 2021.

Menurutnya lagi, mesyuarat jawatankuasa tertinggi seterusnya akan diadakan pada Oktober bagi membincangkan tarikh baru Sukma jika ada perubahan.

Jelas beliau, dengan penetapan tarikh baru itu, semua atlet-atlet pelapis diharap akan terus melakukan latihan secara persendirian mengikut program latihan yang telah dibekalkan oleh jurulatih masing-masing sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Saya juga memohon agar semua atlet, jurulatih serta pegawai sukan di seluruh negara untuk terus mematuhi arahan dan panduan tatacara pembersihan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia serta menghadkan sebarang pergerakan masing-masing di samping melakukan kuarantin diri dan penjarakan sosial,” tambahnya. — DayakDaily