Sukan gusti lengan bakal diperkenalkan sebagai sukan lasak untuk tentera darat tahun hadapan

Toh (tiga dari kanan) menyerahkan piala Kejohanan Tinju Peringkat Divisyen Pertama Infantri Malaysia 2018 kepada wakil pasukan 31 Brigade yang menjadi juara formasi keseluruhan kejohanan itu di Dataran Kem Muara Tuang.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, Nov 26: Tentera darat dari Divisyen Pertama Infantri Malaysia akan memperkenalkan sukan gusti lengan sebagai sukan lasak baru bagi digalakkan disertai kalangan anggota tentera darat di negeri ini mulai tahun hadapan.

Panglima Divisyen Pertama Infrantri Malaysia, Mejar Jeneral Dato Toh Choon Siang berkata ini bagi menambah jenis sukan lasak selain tinju yang sudah lama dan juga seni mempertahankan diri taekwando yang baru diperkenalkan kepada anggota pasukan itu tahun ini sekitar dua bulan lepas.

“Untuk tahun hadapan pula, saya berharap memperkenalkan satu lagi sukan lasak baru iaitu gusti lengan dan ini kerana Sarawak adalah negeri yang paling maju dalam sukan gusti lengan,” katanya ketika merasmikan upacara penutupan Kejohanan Tinju Peringkat Divisyen Pertama Infantri Malaysia 2018 di Dataran Kem Muara Tuang, di sini, semalam.

Advertisement

Toh berkata sehubungan itu berkata pasukan Divisyen Pertama Infantri akan bekerjasama dengan Persatuan Gusti Lengan Sarawak tahun hadapan bagi mengalakkan anggota tentera di negeri ini yang kurang berbakat dalam sukan lasak seperti tinju, taekwondo atau sukan lain untuk mencuba gusti lengan.

Menurutnya sukan gusti lengan itu juga seperti sukan tinju dimana anggota tentera yang menyertainya boleh melepaskan semua tenaga tubuh mereka ketika bertarung di gelanggang dan ini turut mengalakkan mereka menunjukkan semangat pahlawanan.

“Anggota tentera ini ketika zaman aman ini tidak berperang, hanya berlatih dan berlatih, jadi inilah salah satu cara untuk mereka melepaskan semua tenaga dalam badan dan mempamerkan semangat kepahlawanan diri mereka di gelanggang,” katanya.

Beliau berkata gusti lengan juga tidak memerlukan kemahiran tinggi tetapi hanya kekuatan tangan dan berharap pasukan Divisyen Pertama Infantri dapat melahirkan juara sukan gusti lengan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Ketika ini gusti lengan adalah sukan baharu bagi tentera darat, belum ada mana-mana pasukan tentera darat di negara ada menyertai sukan ini dan pasukan Divisyen Pertama Infantri akan menjadi yang pertama,” katanya.

Selain itu, Toh juga mendedahkan yang tahun hadapan pihaknya juga akan membina sebuah gymnasium di satu kawasan lapang di Kem Muara Tuang bagi melengkapkan kemudahan sukan kepada anggota tentera di negeri ini terutama bagi menganjurkan latihan tinju, taekwondo dan gusti lengan.

Sementara itu, Kejohanan Tinju Peringkat Divisyen Pertama Infantri Malaysia 2018 yang bermula tujuh hari lepas sehingga semalam yang disertai seramai 147 petinju menyaksikan pasukan 31 Brigade di Sibu menjadi juara formasi keseluruhan kejohanan itu.

Manakala petinju keseluruhan terbaik dimenangi Prebet Muhammad Safiuddin Mohamad Ali dari 9 Brigade serta kategori petinju berpotensi terbaik dimenangi Prebet Wilson Entusan Dawei dari 31 Brigade. — DayakDaily

Advertisement