Subsidi tiket kapal terbang RM300 untuk pelajar IPT dari Sarawak pulang CNY

Kenyataan media yang dipaparkan dalam laman Facebook Sarawak Volunteers.
Advertisement

KUCHING, Jan 30: Kerajaan negeri akan memberikan subsidi membeli tiket kapal terbang sebanyak RM300 kepada pelajar dari Sarawak yang menuntut di instistusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung, Sabah dan Labuan untuk balik ke negeri ini pada perayaan Tahun Baru Cina (CNY) tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata demikian dengan subsidi tersebut bagi golongan pelajar sahaja dengan mereka layak memohonnya sebanyak dua kali setahun bermula perayaan CNY tahun ini serta perlu mengemukakan bukti pembelian tiket penerbangan, ‘boarding pass’ dan surat pengesahan sebagai pelajar IPT.

“Melalui inisatif ini, pihak kerajaan Sarawak akan memberi subsidi sebanyak RM300 kepada pelajar Sarawak yang belajar secara sepenuh masa di IPT yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk balik ke Sarawak,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Advertisement

Fazzrudin yang juga penasihat Sarawak Volunteers berkata butiran lanjut mengenai syarat dan cara memohon subsidi itu boleh didapati dari laman Facebook Sarawak Volunteers di https://www.facebook.com/sarawakvolunteers/ pada Jumaat, Febuari 1 depan.

“Sekali lagi ini membuktikan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) kita adalah perihatin dengan keperluan anak Sarawak terutamanya para pelajar yang menuntut di luar Sarawak dengan menunaikan janji beliau kepada mereka,” katanya.

Beliau menjelaskan pada sesi ‘town hall’ Lan Berambeh Anak Sarawak 2018 bersama Ketua Menteri di Kuala Lumpur Oktober 20 tahun lepas, pelajar IPT dari Sarawak telah memohon subsidi bagi tiket kapal terbang balik ke Sarawak semasa musim perayaan.

Abang Johari kemudian meluluskan inisiatif pemberian subsidi terbabit bagi meringankan beban pelajar IPT dari Sarawak membeli tiket kapal terbang untuk balik pada musim perayaan bermula perayaan Tahun Baru Cina 2019. — DayakDaily

Advertisement