Suami isteri maut selepas motosikal ditunggang dilanggar kereta

Kelihatan mangsa yang maut selepas terlibat kemalangan di selekoh jalan Kampung Bokah Lundu.
Advertisement

LUNDU, 31 Mac: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan dekat Jalan Kampung Bokah di sini tengahari tadi.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superitenden Alexson Naga Chabu berkata, kejadian berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Perodua Viva dipandu seorang wanita telah memasuki laluan bertentangan ketika melalui selekoh di Jalan Kampung Bokah.

“Situasi itu menyebabkan wanita terbabit gagal mengelak motosikal yang ditunggang mangsa dan isterinya yang datang dari arah bertentangan lalu mengakibat dia melanggar kedua mangsa tersebut.

Advertisement

“Perlanggaran terbabit mengakibatkan kenderaan yang dipandu wanita itu hilang kawalan sebelum terbalik di sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenderaan dipandu seorang wanita yang terbalik selepas terlibat kemalangan di selekoh Jalan Kampung Bokah Lundu.

Alexson berkata, pemandu dan pembonceng motosikal terbabit yang dalam perjalanan dari Raso menuju ke Lundu disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Manakala, pemandu kenderaan terbabit serta dua lagi penumpangnya masing-masing berusia tiga serta 55 tahun hanya mengalami kecerderaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Stungkor, Lundu.

Katanya, mayat kedua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Lundu untuk tindakkan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita turut membawa kenderaan yang terlibat dalam kejadian kemalangan tersebut ke Balai Polis Lundu untuk tindakkan siasatan kejaian,” katanya. — DayakDaily

Advertisement