Suami dan abang ipar diberkas kerana mengugut isteri di Grace Hill Garden

Kelihatan dua beradik yang disyaki terlibat dalam kes ugutan jenayah terhadap mangsa ditahan polis untuk siasatan lanjut.

MIRI, 19 April: Perbuatan dua beradik mengugut dan mendatangkan cedera terhadap seorang wanita pada malam Sabtu (17 April), membawa padah apabila mereka ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, salah seorang suspek yang ditahan merupakan suami kepada mangsa.

Dalam kejadian pada Sabtu sekitar jam 9.11 malam, wanita berusia 50 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian muka selepas bergaduh dengan suaminya di rumah mereka di Grace Hill Garden.


Selepas kejadian, mangsa telah pergi ke rumah ibu mertuanya, namun setibanya di sana, wanita itu telah dihalang abang iparnya dan diugut menggunakan sebilah parang sepanjang 56cm.

Susulan kejadian, mangsa telah tampil membuat satu laporan polis kerana bimbang keselamatan dirinya.

Kedua-dua suspek berusia 53 dan 58 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan pada malam Ahad (18 April) sekitar jam 11.30 dan 11.50.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. — DayakDaily