Struktur Mahkamah Bumiputera Sarawak dipinda, bidang kuasa diperluas — Sikie

Sikie (duduk tengah) merakamkan kenangan bersama peserta Bengkel Pengendalian Kes Mahkamah Bumiputera Sarawak.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 24 Okt: Cadangan penstrukturan semula Mahkamah Bumiputera Sarawak akan dimajukan ke kabinet negeri dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, transformasi tersebut bertujuan untuk memperluas bidang kuasa mahkamah tersebut.


“Cadangan ini akan dimajukan ke kabinet secepat mungkin iaitu mungkin pada tahun depan.

“Setelah diluluskan kabinet negeri, ia seterusnya akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri iaitu pada Mei 2023,” kata Sikie ketika ditemui hari ini.

Terdahulu beliau telah merasmikan Bengkel Pengendalian Kes Mahkamah Bumiputera Sarawak bagi Zon Selatan di sini.

Terdahulu dalam ucapannya, Sikie berkata, kajian yang jalankan oleh pihak Konsultan berhubung penstrukturan semula sudah siap.

Katanya, langkah seterusnya ialah memajukan cadangan dalam laporan kajian tersebut kepada kabinet negeri.

“Pihak Mahkamah Bumiputera Sarawak kini sedang dalam proses untuk menyediakan Kertas Kabinet mengenai perkara ini.

“Ini adalah untuk mendapatkan pertimbangan dan kelulusan ‘Transformation Master Plan for the Native Courts of Sarawak’ yang dicadangkan dalam Laporan Akhir Kajian.

“Ini akan melibatkan satu Rang Undang-Undang yang baru dibentangkan kepada Dewan Undangan Negeri dan sekiranya diluluskan, Rang Undang-Undang Ordinan Mahkamah Bumiputera yang baru itu akan mengganti Ordinan Mahkamah Bumiputera 1993 yang ada sekarang,” katanya.

Tambah Sikie, mengikut cadangan oleh pihak Konsultan, nama Mahkamah Bumiputera Sarawak juga akan ditukar kepada Mahkamah Adat Sarawak. — DayakDaily