Lembaga Perindustrian Kelapa dan Nanas Malaysia ditubuhkan

Ahmad Shabery (tiga dari kanan) menunjukkan tanda 'thumbs-up' untuk buah nanas.

KUCHING, Mac 15: Kerajaan akan menubuhkan Lembaga Perindustrian Kelapa dan Nanas Malaysia (LPKNM) seperti mana yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa sesi pembentangan Bajet 2018 bagi memperkasakan sektor tersebut.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, draf rang undang-undang lembaga baharu itu sedang dalam proses semakan dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.

Menurut beliau, penubuhan LPKNM merupakan pembesaran fungsi dan bidang kuasa akta Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia sedia ada bagi menggabungkan dua jenis tanaman utama tersebut yang dikategorikan sebagai sumber kekayaan baru (SKB) negara sekali gus menjadi satu lembaga baharu.


“Di bawah fasa pertama program SKB, peruntukan tahun ini ialah sebanyak RM27.5 juta untuk pembangunan industri kelapa, RM29.6 juta untuk pembangunan industri nanas, serta RM4.5 juta untuk penubuhan dan operasi LPKNM.

“Malah dianggarkan seramai 70,000 orang pekebun kelapa akan mendapat manaafat yang besar hasil daripada penubuhan LPKNM ini yang bertujuan untuk memastikan pengurusan kebun dan ladang kelapa lebih sistematik serta meningkatkan lagi pengeluaran buah kelapa negara,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Ahmad Shabery (kanan) melawat ladang nanas.

Ahmad Shabery menambah, pada masa kini, negara telah mengimport sebanyak 151 juta biji kelapa setahun membabitkan nilai sebanyak RM226 juta daripada negara jiran.

Katanya, ia adalah bagi menampung permintaan kelapa dalam negara yang dianggarkan sebanyak 700 juta biji setahun.

“Permintaan kelapa juga dijangka mencapai satu bilion biji menjelang 2020.

“Sehubungan itu, salah satu inisiatif awal ke arah penubuhan lembaga ini ialah dengan melaksanakan projek integrasi tanaman kelapa dan nanas yang dapat memberikan pendapatan berganda kepada pekebun terlibat,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, menerusi perlaksanaan program itu, para pekebun dapat memperoleh pendapatan awal daripada tanaman nanas yang diusahakan sebelum tanaman kelapa mereka mengeluarkan hasil bermula pada tahun keempat penanaman.

Jelasnya, industri nanas juga akan terus diperkasakan selaras dengan permintaan yang semakin meningkat dipasaran luar negara terutamanya dari China dengan sasaran nilai eksport sebanyak RM320 juta.

“Projek pembangunan model tanaman nanas tanah tinggi Jelebu adalah kaedah pembangunan nanas di kawasan berbukit bertanah mineral bagi mengoptimum penggunaaan tanah untuk penanaman nanas,” katanya lagi. — DayakDaily