SPR: Mesyuarat berhubung PRU DUN Johor akan diadakan pada 9 Feb

Sign outside polling station. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 24 Jan: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas berhubung Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 pada 9 Februari depan.

Setiausaha SPR Datuk Indera Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan berkata, ia akan membincangkan tarikh-tarikh penting seperti tarikh Writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan.

“SPR secara rasminya telah menerima notis daripada Speaker DUN Johor berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 pada 23 Januari 2022 sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895.

“Berdasarkan Fasal (4) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN tersebut,” katanya.

Mesyuarat khas tersebut akan diketuai Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh. — DayakDaily