SPP digesa tepati janji, ambil anak Sarawak isi kekosongan jawatan guru

Nelly Tawai
Advertisement

KUCHING, 15 Okt: Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) harus menghormati wilayah Sarawak dalam usaha pengambilan khas guru di wilayah ini dengan menepati persetujuan yang telah dibuat bersama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD).

Naib Presiden Persatuan Intelektual Pribumi Sarawak (PERANTIS) Nelly Tawai berkata, ini dengan mengekalkan hanya calon guru tempatan sahaja dipertimbangkan.

“Skim pengambilan khas guru itu adalah bagi mengisi kekosongan jawatan guru di Sarawak dengan mengkhusus kepada anak Sarawak sahaja tetapi SPP jelas tidak menunaikan janji.

Advertisement

“Keputusan SPP ini adalah suatu tragedi dan telah mengundang kegusaran dan kemarahan kepada anak tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nelly juga menggesa ketelusan dilaksanakan dalam proses pengambilan untuk mengisi kekosongan jawatan guru di Sarawak.

Katanya, ia untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap sistem pengambilan guru, terutamanya apabila melibatkan kepentingan rakyat Sarawak.

“Kekosongan dalam perjawatan ketika ini seharusnya diberi keutamaan kepada anak Sarawak yang layak.

“Ini juga untuk memastikan peluang pekerjaan dan kemajuan pendidikan dapat dinikmati oleh rakyat tempatan,” ujar Nelly. — DayakDaily

Advertisement