‘Spiderman’ kantoi selepas gelagat dirakam CCTV

Suspek berusia 20 tahun itu (tengah, barisan depan) ditahan JSJ Miri semalam (21 Mei 2022).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 22 Mei: Gelagat seorang pemuda memanjat pagar sebuah rumah di Taman Jelita seperti ‘Spiderman’ dan melarikan seunit pemotong kayu bernilai RM1,800 berjaya dirakam oleh CCTV pada Rabu (18 Mei) membawa kepada penangkapan seorang suspek semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, suspek berusia 20 tahun itu diberkas anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitar jam 6.30 petang di sebuah rumah di Taman Jelita.


Turut ditemui semasa penangkapan terbabit ialah sebuah pemotong kayu (‘chainsaw’) yang dilaporkan hilang dicuri.

Difahamkan kejadian hanya disedari pemilik rumah terbabit pada pagi Sabtu (21 Mei) apabila beliau memeriksa rakaman CCTV di rumahnya.

Terkejut dengan rakaman imej tersebut, pengadu berusia 31 tahun itu telah menyerahkan video rakaman itu kepada pihak polis.

Bertindak daripada maklumat yang diterima, anggota JSJ Miri berjaya mengesan suspek dan membawanya ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. — DayakDaily