Disyaki ugut bunuh ibu dan curi rim kereta bapa, pemuda ditahan polis

Suspek (empat dari kiri) ditahan anggota JSJ IPD Miri petang tadi.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 22 Mei: Seorang pemuda ditahan polis petang ini selepas disyaki mengugut bunuh ibunya dan mencuri seunit rim kereta bapanya.

Suspek berusia 22 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitar jam 4 petang tadi sebaik sahaja ibu suspek membuat laporan mengenai kejadian di sebuah rumah di Jalan Dato Permaisuri Bandar Baru Permyjaya.


Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu yang mengesahkan tangkapan itu berkata, pihak polis turut merampas seunit rim kereta dipercayai dicuri daripada suami pengadu.

Dalam kejadian sekitar jam 1 petang tadi, suspek dikatakan telah mengugut bunuh ibunya melalui telefon.

Ibu suspek mensyaki anaknya ada terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. — DayakDaily