KUCHING, Mei 16: Sotong tutok adalah antara hidangan yang semakin popular dan mendapat sambutan ketika bulan puasa di bandaraya ini serta memberi pendapatan lumayan kepada penjualnya di bazar Ramadhan.
Antaranya usahawan muda, Fadhil Othman, 27 dari Bandar Baru Semariang yang mendedahkan gerainya mampu mendapat jualan RM200 sehari menjual sotong tutok di Bazar Ramadhan Stutong di Tabuan Jaya, di sini.
“Purata gerai saya di bazar Ramadhan ini mampu mencatat jualan sekitar RM200 menjual sotong tutok. Ramai pelanggan suka membeli sotong bersaiz besar yang dijual pada harga RM15,” katanya.
Fadhil berkata kebiasaanya sotong tutok bersaiz besar seberat sekitar 12 gram seekor manakala bersaiz kecil seberat dua atau tiga gram sahaja seekor dan dijual pada harga RM2 hingga RM5.
“Sotong tutok asalnya adalah sotong kering yang diperolehi saya dari peniaga makanan laut dan sotong kering itu akan dibakar atas arang selama dua minit dan kemudian diketuk dengan tukul dan digilis dengan mesin,” katanya.
Beliau berkata isi sotong kering liat dan sukar dimakan tetapi selepas diketuk dengan tukul besi dan digilis dengan mesin akan bertukar menjadi lembut dan lebih mudah dimakan sebagai hidangan berbuka puasa. — DayakDaily