SOP PKPB Zon Kapit benarkan operasi ekonomi dari jam 6 pagi hingga 8 malam sahaja

The Kapit Wharf

KUCHING, 17 Mei: Prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tambahan bagi Zon Kapit mulai esok sehingga 7 Jun membenarkan aktiviti ekonomi beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam sahaja.

Menerusi kemas kini yang dikeluarkan hari ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menetapkan pengoperasian pengepaman di stesen minyak dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 5 petang.

Manakala pasar tani di Zon Kapit dibenarkan  beroperasi dengan pengawasan pihak berkuasa serta anggota Rela/PBT pada hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad sahaja bermula 6 pagi hingga 2 petang.


JPBNS turut meletakkan syarat kapasiti pengoperasian kompleks membeli belah atau pasar raya dengan hanya membenarkan jumlah pengunjung tidak melebihi 50 peratus kapasiti premis dengan maksimum 30 orang sahaja serta mematuhi SOP yang ditetapkan.

Bagi kedai komersil pula, JPBNS membenarkan jumlah pengunjung tidak melebihi 50 peratus kapasiti premis dengan maksimum 10 orang sahaja serta mematuhi SOP yang ditetapkan.

Kemas kini SOP ini juga membenarkan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, van sewa dan bot ekspres beroperasi dengan kapasiti 50 peratus sahaja.

Manakala bilangan individu dalam kenderaan persendirian adalah dihadkan kepada tiga orang sahaja.

Melalui kemas kini SOP ini juga, JPBNS tidak membenarkan pergerakan keluar dan masuk ke atau dari Zon Kapit kecuali bagi perkhidmatan perlu serta kenderaan berkaitan industri, perniagaan dan perkilangan.

Kebenaran pergerakan adalah dengan syarat mempunyai keputusan ujian calitan RT-PCR selain permit dari pihak polis.

Menurut JPBNS, pengecualian diberikan bagi urusan kematian, kecemasan, urusan rasmi Kerajaan, temu janji vaksinasi dan individu yang telah lengkap menerima suntukan vaksin dengan syarat perjalanan tidak melebihi 4 hari dan mendapat kelulusan khas Pegawai Kesihatan Bahagian selain dari permit polis.

Bilangan penumpang bagi kenderaan perkhidmatan perlu serta kenderaan berkaitan industri, perniagaan dan perkilangan adalah mengikut kapasiti kenderaan.

Operator dan pekerja bagi kenderaan tersebut perlu menjalani ujian calitan RT-PCR setiap 14 hari sekali. — DayakDaily