“SOP bukan untuk menyusahkan rakyat tetapi memutuskan rantaian infeksi Covid-19”

Kelihatan Lee (barisan depan, dua dari kanan) semasa melawat salah sebuah pasar raya di Miri hari ini (16 Mei 2021).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 16 Mei: SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan oleh JPBNS merupakan ‘circuit breaker’ Covid-19, dan bukan untuk menyusahkan rakyat.

“SOP (prosedur operasi ‘standard’) ini bukan untuk menyusahkan rakyat, sebaliknya adalah untuk menjaga keselamatan semua. Kalau semua memberi kerjasama baik dan mematuhi SOP kes-kes boleh turun dan sudah pasti kita boleh beri kelonggaran. Kalau kes semakin meningkat, SOP lebih ketat akan dikenakan,ā€ jelas Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga merupakan menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin.


Katanya, JPBB Miri memandang serius situasi pandemik Covid-19 dan pasukan penguatkuasa akan membuat rondaan ke premis-premis dengan lebih kerap malah kompaun akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi SOP Covid-19.

Dalam pada itu, Lee mengingatkan bahawa seandainya berlaku peningkatan kes lagi, jalan terakhir yang terpaksa dilakukan adalah mencadangkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS)untuk tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas Miri sama seperti yang telah dilaksanakan pada 18 Mac 2020.

ā€œKita berharap usaha yang dilakukan kerajaan sekarang berjaya menurunkan kes-kes positif yang ‘trend’nya amat membimbangkan dan kalau tiada cara lain kita mungkin terpaksa mencadangkan kepada JPBNS supaya kita mengadakan satu PKP di Miri dan sudah pasti kita tidak mahu melaksanakan PKP ini yang akan menyusahkan semua pihak serta menjejaskan semua sektor khususnya sektor ekonomi,ā€ kata Lee dalam satu kenyataan media selepas mengadakan lawatan ke empat buah pasar raya dan pusat membeli belah di sini hari ini.

Beliau berkata, JPBB Miri amat komited dalam usaha untuk menurunkan kes-kes di Miri dan pelbagai tindakan kawalan serta pencegahan dilakukan termasuklah melalui aktiviti pemeriksaan, pemantauan, nasihat serta tindakan mengenakan kompaun kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi SOP Covid-19.

Turut menemani Lee dalam lawatan tersebut adalah Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohamad Yusuf dan Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang.

Lawatan tersebut turut disertai oleh agensi-agensi penguatkuasa seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Miri, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Miri, Pejabat Daerah Miri serta Pasukan Penguatkuasa Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Lawatan tersebut adalah bertujuan untuk memeriksa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ā€œcircuit breakerā€ Covid-19 (dengan syarat-syarat diperketatkan) seperti yang telah diumumkan JPBNS di samping memberikan keterangan berhubung aspek kawalan kemasukan bilangan pelanggan berdasarkan kapasiti premis masing-masing.

Lee berkata: ā€œDatuk Amar Douglas Uggah (Pengerusi JPBNS) melalui panggilan telefon sebentar tadi berpesan bahawa pemeriksaan dan penguatkuasan perlu dilakukan bagi memastikan SOP PKPB yang digariskan dipatuhi dengan baik.

ā€œKita berharap semua pihak akan memberikan kerjasama yang padu dalam mematuhi SOP PKPB ini. Apa yang penting buat masa sekarang, Miri telah pun memperketatkan SOP dan mudah-mudahan dengan disiplin dan kerjasama orang ramai kita akan dapat mengawal keadaan pandemik ketika ini.ā€

Dalam pada itu, Lee juga ingin mengingatkan masyarakat di Miri berhubung pendaftaran vaksin, bagi sesiapa yang belum mendaftar agar segera mendaftar melalui MySejahtera atau melalui empat kaedah lain seperti yang diumumkan JPBB Miri sebelum ini sekiranya tidak mempunyai aplikasi MySejahtera atau tidak mempunyai capaian Internet. ā€” DayakDaily