KUCHING, 22 Mac: Mulai 1 April, umat Islam negeri ini dibenarkan menunaikan solat Jumaat, solat fardhu, solat sunat, khutbah dan wirid selepas solat di masjid dan surau tanpa penjarakan fizikal.
Majlis Islam Sarawak menerusi Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) yang dikeluarkan hari ini berkata, ini selaras dengan situasi semasa wabak Covid-19 di bawah Fasa Peralihan Ke Endemik seperti diumumkan Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac.
SOP itu turut menggariskan semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau (pengajian, kuliah, ceramah, kursus, bengkel, tadarus, tahlil, berbuka puasa, moreh, qiamullail, sahur, iktikaf, khatamal Al-Quran dan lain-lain) adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal.
Manakala semua aktiviti sosial yang sesuai di adakan di masjid dan surau termasuk pengurusan dan pengkebumian jenazah yang tiada kaitan dengan Covid-19 adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal.
SOP itu turut menetapkan penggunaan pelitup hidung dan mulut sepanjang masa, mendaftar kehadiran melalui MySejahtera sebelum masuk ke dalam masjid dan surau, digalakkan membawa sejadah atau alas sujud sendiri dan jamuan adalah dibenarkan.
Bagi mana-mana individu yang masih dalam tempoh notis kuarantin Covid-19 oleh KKM atau yang mempunyai gejala demam, selsema, batuk atau sesak nafas adalah dilarang menghadiri solat dan semua aktiviti lain di masjid dan surau. — DayakDaily