Dua bot tunda beserta tongkang ditahan di Miri

Gambar komposit menunjukkan suspek yang ditahan dalam operasi tersebut.

MIRI, 22 Mac: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah menahan dua bot tunda bersama dua tongkang pada jarak lebih kurang 3.6 batu nautika barat dari Tanjung Lobang, Miri sekitar jam 8.00 malam Isnin (21 Mac 2022).

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Shafie Paing berkata, penahanan dibuat berikutan kegagalan operator mengemukakan sebarang dokumen berkaitan semasa diperiksa.

Katanya, bot tunda pertama berserta tongkang dikendalikan empat kru termasuk nakhoda warga tempatan yang kesemuanya berumur dalam lingkungan 24 hingga 67 tahun.


Manakala bot tunda kedua berserta tongkang pula dikendalikan tujuh kru termasuk nakhoda yang terdiri daripada lima warga tempatan, seorang warga Indonesia dan seorang warga Myanmar, berumur dalam lingkungan 24 hingga 56 tahun.

“Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952/60 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen.

“Kesemua bot tunda dan tongkang ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Maritim Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mencegah pelanggaran undang-undang, penyeludupan, pencerabohan dan jenayah maritim yang berlaku diperairan Zon Maritim Malaysia.

Sekiranya ada sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang salah laku dilaut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily