Lebih 1,000 penganut pelbagai agama menyertai Harmony Walk 2018

Dr Abdul Rahman (kanan) dan Poh berjalan bersama ketika menyertai acara Berjalan Harmoni 2018.

KUCHING, Sept 29: Hujan lebat awal pagi tidak menghalang lebih 1,000 penganut pelbagai agama bersama menyertai acara Berjalan Harmoni 2018 sejauh lima kilometer yang bermula di premis Persatuan Gereja Di Sarawak, di Jalan Stampin, di sini, hari ini.

Peserta acara terbabit memakai baju putih kemudian beramai-ramai berjalan melintasi pelbagai tempat keagamaan di bandaraya ini termasuk Gereja BEM Kuching Evengelical, Kuil Tong Kak Kuang dan Malaysia Hindu Sangam Majlis Negeri Sarawak.

Peserta juga berjalan melintasi Pusat Penerangan Islam, Pertubuhan Kuil Sikh Sarawak dan Perhimpunan Rohani Bahai Sarawak serta berakhir di perkarangan Kuching Buddhist Society.


Acara terbabit bersempena sambutan Hari Malaysia dengan tema “Perpaduan adalah panggilan kita” dianjurkan Kuching Buddhist Society dengan kerjasama pertubuhan agama lain serta disokong Kelab Larian O-RUN-UTAN dan Kelab Larian Underground Petra Jaya.

Antara menyertai acara berjalan beramai-ramai itu ialah Menteri Muda Bekalan Elektrik Luar Bandar, Dr Abdul Rahman Junaidi, Uskup Agung Gereja Katolik Kuching, Simon Poh, Presiden Kuching Buddhist Society, Chua Beng Thian, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penerangan Islam, Zabariah Matali dan Presiden Persatuan Kuil Sikh Sarawak, Dr Kalwinder Singh Khaira.

Juga menyertainya ialah Presiden Malaysia Hindu Sangam Majlis Negeri Sarawak, Krishnarao Prabhu dan Presiden Perhimpunan Rohani Bahai Sarawak, Chia Chin Chau dan Setiausaha Agung Persatuan Gereja Di Sarawak, Ambrose Linang.

Sebahagian dari 1,000 peserta acara Berjalan Harmoni 2018 yang menamatkan acara terbabit di Kuching Buddhist Society.

Selepas selesai acara berjalan terbabit bendera Berjalan Harmoni kemudian diserahkan wakil Kuching Buddhist Society kepada penganjurnya tahun hadapan iaitu Pertubuhan Gereja Di Sarawak serta kemudian diadakan acara cabutan bertuah kepada peserta. — DayakDaily