Sikie gesa penduduk di rumah panjang patuhi SOP


KUCHING, 21 April: Menteri Muda Undang-Undang dan Adat Bumiputera Datuk John Sikie Tayai menggesa penduduk di Daerah Tatau mempertingkatkan pelaksanaan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Ini berikutan berlakunya peningkatan 38 kes baharu di daerah tersebut yang sekaligus menjadikan Tatau bertukar status kepada zon merah Covid-19.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak baru-baru ini telah mengumumkan tiga kluster baharu iaitu Kluster Sungai Duan, Kluster Sungai Selitut dan Kluster Jalan Bintulu–Sibu di Tatau.


“Keadaan ini amat merisaukan dan semua masyarakat diingatkan untuk kekal berada di rumah. Jika tiada urusan yang penting, jangan keluar rumah.

“Untuk urusan keluar membeli barangan keperluan harian, hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan,” katanya menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

Sikie yang juga ADUN Kakus turut menasihati mereka yang berada di bandar agar tidak balik ke rumah panjang masing-masing jika tiada urusan mustahak.

Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) juga digesa untuk memantau dan memperketatkan SOP di rumah-rumah panjang.

“Jangan berkumpul beramai-ramai. Semua majlis sosial adalah tidak dibenarkan bagi kawasan ini yang berada dalam zon merah.

“Manakala, tuai rumah atau biro keselamatan dan kesihatan rumah panjang harus mengaktifkan komuniti kepolisan.

“Walaupun dalam satu rumah panjang yang sama, apabila keluar contohnya ke ruai, pastikan penduduk rumah panjang memakai penutup muka dan sentiasa menjaga jarak masing masing,” ujarnya. — DayakDaily