Aktiviti sukan, rekreasi, hiburan dilarang, pelancongan dan kebudayaan dibenar tertakluk kelulusan PBT, JPBNS

Football. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 21 April: Aktiviti sukan dan rekreasi, aktiviti hiburan, operasi rumah urut, spa, refleksologi serta pengoperasian gimnasium adalah tidak dibenarkan di semua zon di Sarawak bermula hari ini.

Larangan itu dimaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menerusi kemaskini Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) yang dikeluarkan semalam.

SOP berkenaan yang menetapkan larangan tersebut melibatkan aktiviti massa yang melibatkan pergerakan dan perkumpulan ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal dalam satu-satu masa seperti ‘fun run’, ‘fun ride’, marathon, triathlon dan sebagainya.


Pada masa sama aktiviti hiburan seperi di kelab malam, panggung wayang serta pusat karaoke termasuk karaoke keluarga turut disenaraikan dalam langgan tersebut memandangkan aktiviti tersebut boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Bagaimanapun penganjuran aktiviti sukan kategori individu dan berpasukan bagi tujuan aktiviti latihan, permainan, perlawanan dan kejohanan (‘indoor’ dan ‘outdoor’) adalah dibenarkan tertakluk kepada kelulusan Kementerian Belia dan Sukan Sarawak (KBSS) serta dimaklumkan kepada JPBN Sarawak.

Manakala bagi penganjuran kejohanan atau pertandingan tempatan dan antarabangsa, ia tertakluk kepada kelulusan KBBS serta harus dilakukan secara kuarantin (‘quarantine based’) dan tanpa kehadiran penonton.

Kehadiran peserta dan pegawai dari luar negara ke Malaysia tertakluk kepada Jabatan Imigresen Malaysia dengan surat sokongan KBSS dan dimaklumkan kepada JPBN Sarawak selain perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

Sementara itu, aktiviti berasaskan sektor pelancongan dan kebudayaan masih dibenarkan beroperasi dengan tidak melebihi 50 peratus kapasiti premis atau maksimum 100 orang sahaja selain perlu mematuhi penjarakkan fizikal, dan mewajibkan pemakaian pelitup muka.

Kebenaran itu turut terpakai bagi aktiviti berbuka puasa di restoran atau hotel di seluruh Sarawak selain ia tertakluk kepada kelulusan pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak.

Tambah SOP itu lagi, aktiviti seperti bazaar Ramadan serta pasar malam adalah dibenarkan tertakluk kepada kelulusan PBT setelah mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian serta perlu memaklumkan kepada JPBNS. — DayakDaily