KUCHING, 3 Sept: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddi Jamalullail hari ini merasmikan acara larian Perlis Nakawan Ultra di pejabat Smart Leisure & Travels di sini.
Perlis Nakawan Ultra yang bertema ‘The Thrill of Northern Trails’ akan bermula pada 9 sehingga 10 Dis di mana peserta-peserta akan melalui Banjaran Nakawan sepanjang 38km melalui Taman Negara Perlis.
Larian Ultra terbahagi kepada tiga kategori iaitu 10km, 25km dan 50km.
Buat julung kalinya, kategori ‘Super Senior’ terbuka ke peserta-peserta berusia 50 tahun ke atas, selain kategori Junior khas (12-17 tahun) untuk memperkenalkan anak-anak muda kepada acara larian denai.
Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan Perlis Asmaiza Ahmad, larian mensasarkan sebanyak 800 peserta.
“Antara objektif Nakawan Ultra adalah untuk membangunkan semula Perlis sebagai destinasi pelancongan sukan, merangsangkan ekonomi domestik, dan mempromosikan tempat-tempat menarik di Perlis.
“Ini terutamanya di sekitar kawasan ekopelancongan berhampiran Sungai Batu Pahat seperti Taman Rimba Herba, Taman Ular dan Reptilia, Taman Eko Rimba dan Kelab Golf Putra,” katanya dalam ucapan aluan.
Acara larian Perlis Nakawan Ultra dianjurkan oleh MEP Ventures dan Kelab Pelari Denai Putra, dengan sokongan Kerajaan Negeri Perlis dan Tourism Malaysia.
Yuran pendaftaran ‘Early Bird’ yang akan tamat 22 September berharga RM70 untuk 10km (Junior), RM80 untuk 10km (dewasa), RM130 untuk 25km dan RM195 untuk 50km.
Tiket kadar biasa boleh dibeli dari 23 September hingga 17 Oktober, berharga RM80 untuk 10km (Junior), RM95 untuk 10km (dewasa), RM145 untuk 25km dan RM235 untuk 50km.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran dalam talian, sila layari www.nakawanultra.com.
Bagi peserta dari Borneo (Sarawak/Sabah/Brunei/Kalimantan) sila hubungi Smart Leisure & Travels Sdn Bhd di talian 016-8930309/017-9050309/082-422282, atau e-mel louis@smartleisuretravels.com.
Hadir sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. — DayakDaily