Lelaki jatuh di ‘Waterfront Kuching’ ditemui mati

Pasukan penyelamat membawa naik mayat mangsa ke jeti.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 3 Sept: Seorang lelaki yang dikatakan terjatuh di Jeti Pengkalan Panjang, Tebingan Sungai Sarawak ditemui mati petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut pada 1.29 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dikerahkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bomba membuat selaman pertama pada jam 3.55 petang dalam radius 20 meter dari Platform jeti Pengkalan Panjang.

“Selaman kedua dilakukan pada jam jam 4.28 petang dan telah berjaya menemui mangsa pada jam 4.38 petang dalam radius 15 meter dari platform jeti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dibawa naik ke jeti dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi ditamatkan pada jam 4.47 petang setelah mangsa berjaya ditemui. — DayakDaily