KUCHING, 5 Feb: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 18 di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat daerah di negeri ini terus menunjukkan peningkatan
setakat jam 8.00 malam hari ini, seramai 1,071 mangsa daripada 338 keluarga di tempatan ditempatkan di PPS di DaerahTatau, Simunjan, Samarahan dan Serian.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Mejar Ismail Mahedin berkata, jumlah itu menunjukkan pertambahan seramai 15 mangsa lagi dipindahkan berbanding 1,056 mangsa yang dipindahkan setakat jam 4.00 petang tadi.
Katanya, pertambahan jumlah mangsa yang dipindahkan itu direkod di Serian dengan 766 mangsa dipindahkan berbanding 742 mangsa setakat jam 4.00 petang tadi yang ditempatkan di 11 PPS.
“Jumlah mangsa yang dipindahkan di Simunjan, Tatau kekal seperti jumlah pada petang tadi iaitu di Simunjan dengan seramai 23o mangsa, Samarahan (51 mangsa) dan Tatau lapan mangsa dipindahkan ketika ini,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak, Penolong Persuruhjaya (PA) Mokthar Samat berkata, gelombang ketika banjir yang melanda negeri ini diakibatkan hujan lebat yang berterusan bermula pada 3 Febuari lalu sekaligus menyebabkan kawasan-kawasan rendah dilimpahi air.
“Contohnya Sungai Batang Sadong di Serian sudah tidak dapat menampung jumlah air yang berlebihan diakibatkan hujan lebat berterusan dan sedikit faktor air pasang besar menyebabkan kawasan sekeliling yang rendah dinaiki air,” katanya menerusi satu kenyataan ketika dihubungi DayakDaily.
Katanya,sepanjang pemantaun dilaksanakan oleh pihaknya, terdapat segelintir penduduk enggan berpindah setelah dinasihati pihak berkuasa kerana merasakan keadaan masih selamat.
Bagaimanapun, apabila keadaan banjir semakin buruk mereka (penduduk) akhirnya bersetuju untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara yang berhampiran.
“Setiap mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara akan disaring terlebih dahulu sesuai dengan pematuhan prosedur Operasi standard (SOP) dalam mencegah penularan wabak Covid-19 di PPS yang dibuka.
“Buat masa ini keadaan banjir diSarawak masih terkawal dan APM bersama lain-lain agensi sentiasa dalam keadaan siap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkin susulan daripada bencana terbabit,” katanya. -DayakDaily
Kelihatan anggota APM ketika melakukan pemantaun dan mmeriksa paras air di kawasan yang di landa banjir.