Seramai 335 penduduk Kampung Mongkos jalani ACD

Petugas Kesihatan melakukan ACD di Kampung Mongkos.

KUCHING, 10 Mei: Seramai 335 penduduk Kampung Mongkos yang dikenakan kuarantin kendiri menjalani pengesanan kes secara aktif (ACD) semalam.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), ACD di Zon 1 dan 2 itu dilaksanakan bagi mengesan kes-kes positif lain di dalam kampung berkenaan.

Ini susulan terdapat kes positif dikesan hasil ujian saringan kepada kontak rapat daripada 46 keluarga yang dikenakan kuarantin pada 1 Mei lepas.


Pejabat Kesihatan Bahagian Serian melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Serian telah mengarahkan aktiviti ACD secara menyeluruh dilakukan kepada semua penduduk di Kampung Mongkos mulai 9 hingga 12 Mei 2021.

Proses ACD pada 9 Mei 2021 itu telah melibatkan seramai 30 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Bahagian Serian termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Dalam pada itu, Ketua Kampung Mongkos Wilson Tamin yang turut berada di lokasi memberitahu bahawa penggiliran pengesanan kes aktif kepada semua penduduk dari Zon 3 hingga Zon 6 akan diadakan pada 10 hingga 13 Mei 2021 yang akan melibatkan seramai 1,126 orang dari 192 keluarga keseluruhannya. — DayakDaily