Seramai 136 penumpang bot ekspres cemas, bot yang dinaiki alami masalah enjin

Anggota bomba melakukan pemeriksaan ke atas sebuah bot ekspres.
IBRACO WEBSITEI

Oleh Dean Adam

SONG, Jun 9: Seramai 136 orang penumpang bot ekspres berdepan dengan detik-detik mencemaskan apabila sebuah bot ekspres yang dinaiki mereka dipercayai mengalami masalah sebelum tiba-tiba berasap di Terminal Bot Ekspres Song di sini, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song, Nasihin Jaum berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.55 pagi.

Katanya, sejurus menerima laporan kejadian berkenaan, sepasukan empat anggota bomba bergegas ke lokasi untuk melakukan operasi susulan.

“Berdasarkan laporan diterima, bot ekspres tersebut dijadualkan memulakan perjalanan dari Song ke Sibu.

“Sebelum itu salah seorang penumpang bot ekspres berkenaan melihat kepulan asap putih keluar dari ekzos bot ekspres,” katanya di sini hari.

Nasihin menambah, jurumudi bot ekspres kemudian mengarahkan semua penumpang keluar menyelamatkan diri sebelum menghubungi bomba untuk bantuan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati bot ekspres itu tidak terbakar, namun cuma mengeluarkan asap berlebihan dari ekzos berpunca disebabkan enjin tidak berfungsi dalam keadaan baik.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan keadaan selamat dan operasi ditamatkan pada 12.53 tengah hari,” ujarnya. — DayakDaily