‘Pembinaan laluan bawah tanah di bulatan Emart penyelesaian terbaik kepada masalah trafik di Matang’

Fazzrudin (lapan dari kanan) merakamkan kenangan bersama pengunjung di Majlis Aidilfitri N.6 Tupong.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jun 9: Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong Fazzrudin Abdul Rahman yakin cadangan membina laluan bawah tanah di bulatan Emart Matang akan dipersetujui kerajaan negeri.

Menurut beliau, pembinaan laluan bawah tanah tersebut merupakan jalan penyelesaian terbaik kepada kesesakan trafik di kawasan Matang.


“Cadangan saya untuk membina satu lagi laluan bawah tanah menerima maklum balas dari kementerian di mana mereka akan melihat kepada kebolehsanaan dan impaknya.

“Laluan ini penting kerana bermulanya pembinaan jalan empat lorong dari Matang Jaya ke Simpang Malihah, ianya telah mempercepatkan lagi trafik.

“Maka kita memerlukan alternatif di bulatan Emart untuk meleraikan trafik dengan cepat dan kalau tidak, ia akan mendatangkan masalah besar kepada penduduk,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Terbuka Aidilfitri N.6 Tupong yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini, hari ini.

Tambah Fazzrudin, beliau akan berusaha untuk memastikan laluan bawah tanah tersebut dibina sebab ianya merupakan penyelesaian terbaik seperti yang dibina di Bulatan Abang Kipali, Petra Jaya.

Beliau juga yakin kerajaan negeri ada peruntukkan untuk melaksanakannya seperti menggunakan sumber kewangan dari hasil kutipan cukai jualan 5 peratus ke atas produk petroleum.

“Cukai jualan 5 peratus telah pun berkuatkuasa dan hanya Petronas yang belum membayar; syarikat minyak lain sudah membuat pembayaran.

“Hasil dari kutipan ini digunakan semula untuk membina infrastruktur di Sarawak.

“Laluan bawah tanah memberi manfaat kepada masyarakat dan tidak semahal ‘flyover’. Saya yakin Ketua Menteri dan menteri yang bertanggungjawab akan memberi pertimbangan yang sewajarnya,” katanya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut meluangkan masa memeriahkan Majlis Terbuka Aidilfitri N.6 Tupong. — DayakDaily